SMU (A) Diniah, Kg Bongor atau nama asalnya ialah
Madrasah Diniah Bongor telah didirikan di atas
sebidang tanah wakaf di Kampung Bongor, daerah
Alor Pasir Jajahan Pasir Mas, Kelantan. Jaraknya dari
Bandar Pasir Mas ialah kira-kira sepuluh kilometer.
Sekolah ini diasaskan pada tahun 1971. Pada
peringkat awal, pengajian dimulakan di atas sebuah
surau, oleh kerana keadaan bertambah maju, maka
kedudukan tempat pengajian terpaksa dipindahkan
ke sebuah bangunan bangsal yang diperbuat daripada
buluh dan beratapkan rumbia dengan keadaan yang
serba kekurangan.
Pentadbiran sekolah pada peringkat awal berjalan dengan cara tersendiri menerusi persefahaman antara dua orang guru pengasas iaitu Ustaz Zakaria bin Che Mod dan Ustaz Idris bin Mat Diah. Mereka telah sanggup bertungkus-lumus dalam menjayakan peringkat asas pelaksanaan sekolah in. Pengurusan awal pentadbiran sekolah ini diletakkan di bawah naungan Madrasah Alfalah Kg Siram sebagai sekolah cawangan.
Menjelang tahun 1972 guru pengasas utama iaitu Ustaz Zakaria bin Che Mud telah mengundurkan diri dan tempatnya digantikan oleh Ustaz Osman bin Awang. Beliau terus berkhidmat bersama beberapa orang guru yang lain sehingga pihak Yayasan Islam Kelantan merestui dan bersetuju untuk memberi taraf persendirian pada tahun 1980. Sejak itu Ustaz Osman bin Awang dilantik sebagai Guru Besar .
Pada 12 Ogos 2008, SMU (A) Diniah Kg Bongor ini telah didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bersama-sama dengan 21 buah sekolah agama yang lain di negeri Kelantan ini. Kini, perubahan yang begitu ketara telah berlaku terutamanya dari segi infrastruktur seperti penambahbaikan bangunan sekolah, pembinaan kantin baru sekolah, kemudahan elektrik, air, kemudahan ICT dan sebagainya.
Di harapkan SMU (A) Diniah Kg Bongor akan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang cemerlang dalam melahirkan generasi yang beriman dan bertaqwa.
"BERKAT CEMERLANG LESTARI"